Tuesday, December 22, 2009

Peningkatan Kapasiti


Kejadian lalu tidak mematahkan semangat kami, kami terus memandang kehadapan dan kami meneruskan dengan projek penambahan kapasiti kolam pada hujung minggu yang lalu...

Ini berkemungkinan projek pembesaran (expanding) terakhir di tapak ini, sebelum kami akan berpindah ke tapak yang baru... Insya-Allah

Cabaran dan Cobaan

Kami dikejutkan sehari sebelum Aidiladha yang lalu, apabila kolam keli (hampir 1000 ekor ikan) bersaiz 6-8" berada dalam keadaan berbau dan dihurungi oleh lalat.  Kami terpaksa membersihkan dengan segera, memandangkan keesokan harinya adalah hari raya korban, dan surau akan menjadi tumpuan ramai. Kami tidak mahu bau busuk menganggu hadirin yang datang.
Didapati hampir 50 kg ikan mati dan kebanyakannya terdapat kesan hitam di bahagian perut ikan dan bermata putih. Menurut seorang Pegawai Perikanan yang ditemui baru-baru ini, kesan tersebut merupakan tanda ikan tersebut telah diracun! Kami menganggap kejadian ini sebagai ujian dan cubaan buat kami, untuk membuat koreksi serta muhasabah di mana kesilapan kami.


Friday, October 30, 2009

Tempahan Keli & Puyu



Anggerik Bioaqua kini mulai sibuk memenuhi permintaan pelanggan tetap kami yang berdekatan. Alhamdulillah, setelah satu banner dinaikkan, ramai pelanggan mula menempah ikan keli dan puyu samaada untuk tujuan perniagaan atau dimakan untuk hidangan sendiri.
Kesibukan kerja tidak menjadi halangan untuk kami memenuhi permintaan pelanggan. Buat masa ini, kai menyediakan khidmat 'menyiang' ikan dan menghantar terus kepada pelanggan atau 'door to door service' kata orang puteh!
Kepada yang berminat, tempahan terus dibuka! sila hubungi nombor disebelah  atas  blog ini...terima kasih!
Kalau keli salai masak gulai macam sebolah... mentua lalu belakang pun tak nampak, hee.hee.ee

Thursday, October 8, 2009

Salam Aidilfitri


Lembaga Pengarah Anggerik Bioaqua ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua pelanggan kami yang beragama Islam, semoga ikatan ukhuwah yang terjalin akan terus berkekalan.

Pihak kami akan terus memberikan khidmat terbaik dan segala salah dan silap kami, minta diampunkan.

Pihak kami masih membekalkan baja organi untuk ternakan ikan air tawar. Di samping itu, ikan ternakan kami juga telah sedia untuk jualan, dan tempahan boleh dibuat menggunakan 'SMS' atau dengan menghubungi kami di nombor telefon sperti yang terdapat di sebelah
Harga bagi ikan segar adalah seperti berikut:
Keli RM5.00/kg
Puyu RM15.00/kg

Wednesday, August 26, 2009

Memasang kolam kanvas baru

Pada awal bulan Ogos, kami telah menempah 2 lagi kolam kanvas bersaiz 18 x 5 kaki dengan ketinggian 2 kaki setengah bagi menambah kuantiti kolam yang sedia ada. Seperti kebisaannya, kami membeli sendiri besi AL Bar bagi membuat kerangka kolam. Kerja yang bermula jam 9.00 pagi itu, berakhir jam 3.00 petang, tetapi kami amat kecewa berikutan saiz kanvas yang diterima tidak seperti yang ditempah, kurang 2 kaki panjang. Setelah menghubungi pembekal, mereka berjanji akan memperbaik kesilapan mereka, tetapi kami terpaksa ke Banting semula untuk membuat pertukaran set kanvas.








Pada keesokan harinya, kami ke Banting bertemu dengan pembekal kanvas, dan seperti yang dijanjikan, mereka telah memperbetulkan kesilapan mereka. "Taukeh" kedai berkenaan telah mempelawa kami untuk bersarapan di sebuah kedai makan yang sangat terkenal di situ dengan keenakkan nasi lemaknya. Wow! memang best 'giler' la nasi lemak tu...
Setelah makan, kami kembali ke kedai berkenaan dan mendapati kanvan kami telah siap dibaiki mengikut saiz yang kami kehendaki.. Kami kemudiannya kembali semula ke Anggerik untuk terus memasang set kanvas berkenaan dan memasukkan air. Seperti biasa, batang pisang dimasukkan untuk meneutralkan air paip.







Memancing Puyu

Pada pertengahan bulan Julai yang lalu, kami telah diberitahu terdapat banyak ikan puyu terdapat di sebuah ladang sawit di sini. Kami telah melancarkan suatu misi untuk memancing puyu bagi dijadikan induk untuk projek pembenihan ikan puyu. Setelah memancing kira-kira 3 jam, sebanyak 3 ekor ikan puyu, 2 ekor ikan haruan serta seekor ikan 'kotak' berjaya didaratkan....







Wednesday, July 15, 2009

Tempahan Kolam Kanvas

Baru-baru ini, kami telah menerima tempahan untuk menyedia dan membekalkan kolam kanvas kepada seorang penduduk di Desa Anggerik yang turut berminat untuk menternak ikan puyu di rumahnya. Setelah berbincang dan bersetuju dengan tawaran yang diberi, kerja-kerja besi dimulakan setelah menempah kanvas dari pengeluar berhampiran Klang, Selangor.

Saiz Kanvas yang diminta oleh Encik Nazir adalah 18'x 9' dengan ketinggian 2 kaki setengah. Kerja-kerja pemasangan kerangka besi kanvas dilakukan di hadapan rumah beliau.



Setelah selesai kerja-kerja memasang kerangka besi dan kanvas, pasir dan air dimasukkan kedalam kanvas bagi melihat ketahanan dan yang lebih penting untuk memastikan tiada kebocoran pada kanvas tersebut.

Encik Nazir ( gambar bawah paling kiri) kelihatan berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan, kos yang dikenakan hanya RM1170 lengkap dengan proses pemasangan. Berminat? Silalah berhubung dengan kami untuk maklumat lanjut!


Musuh Ternakan Ikan Air Tawar

Ternakan ikan air tawar ini tidak dapat lari daripada ancaman. Ancaman yang wujud datang dari pelbagai aspek, salah satunya adalah ancaman kepada hidupan akuatik ini adalah Burung Raja Udang atau Kingfisher.




Burung ini menjadikan ikan adalah makanan utamanya, keupayaannya untuk terbang rendah ke permukaan air untuk menangkap ikan yang bermain di permukaan air adalah sesuatu yang menakjubkan, menunjukkan kebesaran Ilahi, mengurniakan kebolehan tertentu kepada makhluk-Nya untuk terus hidup dan beribadah kepada-Nya.


Kami telah memasang jaring di kawasan tepi kolam yang berbumbungkan anggerik net. Dan pada suatu petang, seekor burung raja udang telah terperangkap di jaring tersebut. Kami kemudian mengeluarkan burung tersebut dari jaring dan kemudiannya melepaskan semula, tanpa mengapa-apakan burung tersebut. Alhamdulillah, burung tersebut tidak lagi kelihatan di kawasan kolam ternakan...

Kecekapan dan kemahiran burung raja udang ini dapat dilihat menerusi gambar di atas yang diambil dari akhbar Kosmo!

Thursday, July 9, 2009

Benih Talapia Merah

Pada 7 Julai, kami telah memasukkan benih ikan talapia kira-kira 500 ekor yang dibeli dari En Yusry pada kadar harga yang sangat memuaskan. Ini adalah percubaan untuk memulakan penternakan talapia merah di dalam tangki fiber tanpa penggunaan oksigen, kerana pada keadaan biasa, ikan talapia merah ini memerlukan bekalan oksigen yang lebih berbanding ikan-ikan lain. Walaupun En Yusry mencadangkan agar kami menternak ikan tersebut di dalam kolam tanah, tetapi beliau berpendapat, penternakan di dalam tangki fiber atau kanvas juga tidak mendatangkan masalah besar, cuma kadar pembesaran ikan talapia ini sedikit lambat.


Talapia merah ini dikenali sebagai ikan yang suka bermain air yang mengalir, akan tetapi, olah kerana kekurangan keadaan tadi memaksa kami mencuba kaedah yang sama dengan keli dan puyu...




Wednesday, July 1, 2009

Bahang Cuaca El-nino

Peningkatan kepanasan bagi cuaca ketika ini, memaksa kami melakukan perubahan drastik ke atas kolam ternakan ikan, memandangkan paras air kolam didapati menyusut saban hari. Ini belum lagi dilihat dari sudut suhu air sebagai medium hidupan ikan-ikan. Maka, pada 1 Julai, kami pun memasang anggerik net pada kadar penembusan cahaya 50%, walaupun terdapat pendapat pro dan kontra mengenai pemasangan jaring ini.


Kolam yang telah dikosongkan tempohari, kini telah dimasukkan beberapa potong batang pisang bagi tujuan menyerap klorin di dalam air. Sedikit pokok keladi bunting dimasukkan ke dalam kolam. Proses rawatan air ini akan mengambil masa kira-kira 5 hari sebelum ikan baru dimasukkan.
Pada petang 1 Julai juga, kami mengeluarkan beberapa ekor ikan keli dan puyu bagi melihat saiz pembesaran secara tepat. Didapati beberapa ekor ikan puyu bersaiz kurang 1 inci panjang, yang mana saiz benih yang dimasukkan sebelum ini adalah 2 inci panjang dan ke atas. Maka, apa yang disimpulkan adalah ini adalah anak ikan yang baru dihasilkan oleh ikan puyu dewasa.


Di bawah adalah di antara saiz ikan puyu yang terbesar yang berjaya di bawa keluar...





Ikan keli juga menghampiri saiz 6 incin panjang, dan dijangka boleh dituai menjelang Ramadhan yang akan datang.





Monday, June 29, 2009

Pemindahan Anak Benih


Anak benih keli yang dibeli di Sungai Buloh dan Dengkil berjumlah 4000 ekor menunjukkan peningkatan kematian setiap hari yang dibeli pada pertengahan Jun lalu. Ini memeningkan kami bagi menangani masalah ini. Kami menghantar 2 wakil ke Aqasia Akuatik di Kampung Pulau,Labu NSDK untuk meninjau kolam ternakan di samping mendapatkan khidmat nasihat oleh pengusaha ternakan Keli dan Talapia Merah, iaitu Encik Yusry dan adiknya Encik Fazli.


Di samping meninjau dan melihat kolam ternakan mereka, kami juga telah menempah benih ikan talapia merah untuk mengisi kolam kanvas yang masih kosong. Hasil perbincangan, kami dinasihati supaya memeriksa keadaan pH air dan kandungan klorin, kerana kami menggunakan air paip, berbanding air sungai atau perigi seperti yang sepatutnya.

Kolam milik Aqasia Aquatik di Labu, NS

Setelah diuji, didapati tiada kandungan klorin dikesan, tetapi pH air agak tinggi iaitu 7.8. Maka kami mengambil keputusan untuk memindahkan anak keli ke kolam bersebelahan yang masih kosong, dan didapati pH nya adalah 6.2 dan tiada kandungan klorin dikesan pada 27 Jun.


Kolam yang kini menempatkan anak kali yang baru.






Proses membuang air yang tidak sesuai terpaksa dilakukan dengan baldi atau menimba, kerana discharge pipe tidak mampu membuang semua baki air yang tertinggal



Air baru dimasukkan, setelah air sampai ke paras 1 kaki setengah, batang pisang akan dimasukkan bagi meneutralkan klorin (kaedah paling murah yang diajar oleh En. Yusry) untuk memasukkan benih talapia merah baru.

Sunday, June 28, 2009

Tender Membina Taman Mini Sekolah

Anggerik Bioaqua telah menerima satu tawaran oleh sebuah sekolah di sini untuk membina tapak bagi sebuah taman mini. Kami menerima tender bagi kerja-kerja membina dan memasang pagar beserta mendirikan sebuah pagola berukuran 15 kaki panjang dengan kelebaran 7 kaki.



Kerja-kerja asas telah dimulakan pada 21 Jun lalu, dan kerja-kerja tersebut disambung pada 28 Jun dan berjaya disiapkan.








Sebenarnya kerja-kerja sebegini dilihat mudah tetapi agak rumit untuk disiapkan, ketepatan dan kesabaran dalam menyiapkan kerja-kerja amat diperlukan ditambah pula dengan keadaan cuaca yang agak terik. Namun kami gembira kerana berjaya menyempurnakan projek yang diberikan, disamping menambahkan sedikit lagi kewangan bagi syarikat (walaupun terpaksa menunggu untuk beberapa bulan akan datang!)



Inilah hasilnya yang tak seberapa!