Sunday, January 31, 2010

Pemindahan Tapak Baru Kolam

Setelah merancang perpindahan ke tapak yang baru, bagi tujuan memudahkan pemantauan dan kesesuaian serta keberkesanan projek, akhirnya semalam 31/1/2010, kami telah berjaya memindahkan kesemua kolan kanvas dan tangki ke tapak baru. Walaupun masih terdapat kira-kira 20% yang perlu dibereskan di tapak lama, kerja-kerja yang tertangguh perlu juga dibereskan. Moga-moga Allah memberkati usaha kami serta menjauhkan kami dari ujian dan cubaan yang tidak kami jangka...amin..




























Setelah berpenat lelah, kami pun mencuba sesuatu yang tak pernah kami lakukan sebelum ini... menyalai keli segar tarus dari kolam!


 

Rasanye... peh memang sedap dan manis isinye... jemput makan yer...

Tuesday, December 22, 2009

Peningkatan Kapasiti


Kejadian lalu tidak mematahkan semangat kami, kami terus memandang kehadapan dan kami meneruskan dengan projek penambahan kapasiti kolam pada hujung minggu yang lalu...

Ini berkemungkinan projek pembesaran (expanding) terakhir di tapak ini, sebelum kami akan berpindah ke tapak yang baru... Insya-Allah

Cabaran dan Cobaan

Kami dikejutkan sehari sebelum Aidiladha yang lalu, apabila kolam keli (hampir 1000 ekor ikan) bersaiz 6-8" berada dalam keadaan berbau dan dihurungi oleh lalat.  Kami terpaksa membersihkan dengan segera, memandangkan keesokan harinya adalah hari raya korban, dan surau akan menjadi tumpuan ramai. Kami tidak mahu bau busuk menganggu hadirin yang datang.
Didapati hampir 50 kg ikan mati dan kebanyakannya terdapat kesan hitam di bahagian perut ikan dan bermata putih. Menurut seorang Pegawai Perikanan yang ditemui baru-baru ini, kesan tersebut merupakan tanda ikan tersebut telah diracun! Kami menganggap kejadian ini sebagai ujian dan cubaan buat kami, untuk membuat koreksi serta muhasabah di mana kesilapan kami.


Friday, October 30, 2009

Tempahan Keli & Puyu



Anggerik Bioaqua kini mulai sibuk memenuhi permintaan pelanggan tetap kami yang berdekatan. Alhamdulillah, setelah satu banner dinaikkan, ramai pelanggan mula menempah ikan keli dan puyu samaada untuk tujuan perniagaan atau dimakan untuk hidangan sendiri.
Kesibukan kerja tidak menjadi halangan untuk kami memenuhi permintaan pelanggan. Buat masa ini, kai menyediakan khidmat 'menyiang' ikan dan menghantar terus kepada pelanggan atau 'door to door service' kata orang puteh!
Kepada yang berminat, tempahan terus dibuka! sila hubungi nombor disebelah  atas  blog ini...terima kasih!
Kalau keli salai masak gulai macam sebolah... mentua lalu belakang pun tak nampak, hee.hee.ee

Thursday, October 8, 2009

Salam Aidilfitri


Lembaga Pengarah Anggerik Bioaqua ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua pelanggan kami yang beragama Islam, semoga ikatan ukhuwah yang terjalin akan terus berkekalan.

Pihak kami akan terus memberikan khidmat terbaik dan segala salah dan silap kami, minta diampunkan.

Pihak kami masih membekalkan baja organi untuk ternakan ikan air tawar. Di samping itu, ikan ternakan kami juga telah sedia untuk jualan, dan tempahan boleh dibuat menggunakan 'SMS' atau dengan menghubungi kami di nombor telefon sperti yang terdapat di sebelah
Harga bagi ikan segar adalah seperti berikut:
Keli RM5.00/kg
Puyu RM15.00/kg

Wednesday, August 26, 2009

Memasang kolam kanvas baru

Pada awal bulan Ogos, kami telah menempah 2 lagi kolam kanvas bersaiz 18 x 5 kaki dengan ketinggian 2 kaki setengah bagi menambah kuantiti kolam yang sedia ada. Seperti kebisaannya, kami membeli sendiri besi AL Bar bagi membuat kerangka kolam. Kerja yang bermula jam 9.00 pagi itu, berakhir jam 3.00 petang, tetapi kami amat kecewa berikutan saiz kanvas yang diterima tidak seperti yang ditempah, kurang 2 kaki panjang. Setelah menghubungi pembekal, mereka berjanji akan memperbaik kesilapan mereka, tetapi kami terpaksa ke Banting semula untuk membuat pertukaran set kanvas.








Pada keesokan harinya, kami ke Banting bertemu dengan pembekal kanvas, dan seperti yang dijanjikan, mereka telah memperbetulkan kesilapan mereka. "Taukeh" kedai berkenaan telah mempelawa kami untuk bersarapan di sebuah kedai makan yang sangat terkenal di situ dengan keenakkan nasi lemaknya. Wow! memang best 'giler' la nasi lemak tu...
Setelah makan, kami kembali ke kedai berkenaan dan mendapati kanvan kami telah siap dibaiki mengikut saiz yang kami kehendaki.. Kami kemudiannya kembali semula ke Anggerik untuk terus memasang set kanvas berkenaan dan memasukkan air. Seperti biasa, batang pisang dimasukkan untuk meneutralkan air paip.







Memancing Puyu

Pada pertengahan bulan Julai yang lalu, kami telah diberitahu terdapat banyak ikan puyu terdapat di sebuah ladang sawit di sini. Kami telah melancarkan suatu misi untuk memancing puyu bagi dijadikan induk untuk projek pembenihan ikan puyu. Setelah memancing kira-kira 3 jam, sebanyak 3 ekor ikan puyu, 2 ekor ikan haruan serta seekor ikan 'kotak' berjaya didaratkan....







Wednesday, July 15, 2009

Tempahan Kolam Kanvas

Baru-baru ini, kami telah menerima tempahan untuk menyedia dan membekalkan kolam kanvas kepada seorang penduduk di Desa Anggerik yang turut berminat untuk menternak ikan puyu di rumahnya. Setelah berbincang dan bersetuju dengan tawaran yang diberi, kerja-kerja besi dimulakan setelah menempah kanvas dari pengeluar berhampiran Klang, Selangor.

Saiz Kanvas yang diminta oleh Encik Nazir adalah 18'x 9' dengan ketinggian 2 kaki setengah. Kerja-kerja pemasangan kerangka besi kanvas dilakukan di hadapan rumah beliau.



Setelah selesai kerja-kerja memasang kerangka besi dan kanvas, pasir dan air dimasukkan kedalam kanvas bagi melihat ketahanan dan yang lebih penting untuk memastikan tiada kebocoran pada kanvas tersebut.

Encik Nazir ( gambar bawah paling kiri) kelihatan berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan, kos yang dikenakan hanya RM1170 lengkap dengan proses pemasangan. Berminat? Silalah berhubung dengan kami untuk maklumat lanjut!


Musuh Ternakan Ikan Air Tawar

Ternakan ikan air tawar ini tidak dapat lari daripada ancaman. Ancaman yang wujud datang dari pelbagai aspek, salah satunya adalah ancaman kepada hidupan akuatik ini adalah Burung Raja Udang atau Kingfisher.




Burung ini menjadikan ikan adalah makanan utamanya, keupayaannya untuk terbang rendah ke permukaan air untuk menangkap ikan yang bermain di permukaan air adalah sesuatu yang menakjubkan, menunjukkan kebesaran Ilahi, mengurniakan kebolehan tertentu kepada makhluk-Nya untuk terus hidup dan beribadah kepada-Nya.


Kami telah memasang jaring di kawasan tepi kolam yang berbumbungkan anggerik net. Dan pada suatu petang, seekor burung raja udang telah terperangkap di jaring tersebut. Kami kemudian mengeluarkan burung tersebut dari jaring dan kemudiannya melepaskan semula, tanpa mengapa-apakan burung tersebut. Alhamdulillah, burung tersebut tidak lagi kelihatan di kawasan kolam ternakan...

Kecekapan dan kemahiran burung raja udang ini dapat dilihat menerusi gambar di atas yang diambil dari akhbar Kosmo!

Thursday, July 9, 2009

Benih Talapia Merah

Pada 7 Julai, kami telah memasukkan benih ikan talapia kira-kira 500 ekor yang dibeli dari En Yusry pada kadar harga yang sangat memuaskan. Ini adalah percubaan untuk memulakan penternakan talapia merah di dalam tangki fiber tanpa penggunaan oksigen, kerana pada keadaan biasa, ikan talapia merah ini memerlukan bekalan oksigen yang lebih berbanding ikan-ikan lain. Walaupun En Yusry mencadangkan agar kami menternak ikan tersebut di dalam kolam tanah, tetapi beliau berpendapat, penternakan di dalam tangki fiber atau kanvas juga tidak mendatangkan masalah besar, cuma kadar pembesaran ikan talapia ini sedikit lambat.


Talapia merah ini dikenali sebagai ikan yang suka bermain air yang mengalir, akan tetapi, olah kerana kekurangan keadaan tadi memaksa kami mencuba kaedah yang sama dengan keli dan puyu...




Wednesday, July 1, 2009

Bahang Cuaca El-nino

Peningkatan kepanasan bagi cuaca ketika ini, memaksa kami melakukan perubahan drastik ke atas kolam ternakan ikan, memandangkan paras air kolam didapati menyusut saban hari. Ini belum lagi dilihat dari sudut suhu air sebagai medium hidupan ikan-ikan. Maka, pada 1 Julai, kami pun memasang anggerik net pada kadar penembusan cahaya 50%, walaupun terdapat pendapat pro dan kontra mengenai pemasangan jaring ini.


Kolam yang telah dikosongkan tempohari, kini telah dimasukkan beberapa potong batang pisang bagi tujuan menyerap klorin di dalam air. Sedikit pokok keladi bunting dimasukkan ke dalam kolam. Proses rawatan air ini akan mengambil masa kira-kira 5 hari sebelum ikan baru dimasukkan.
Pada petang 1 Julai juga, kami mengeluarkan beberapa ekor ikan keli dan puyu bagi melihat saiz pembesaran secara tepat. Didapati beberapa ekor ikan puyu bersaiz kurang 1 inci panjang, yang mana saiz benih yang dimasukkan sebelum ini adalah 2 inci panjang dan ke atas. Maka, apa yang disimpulkan adalah ini adalah anak ikan yang baru dihasilkan oleh ikan puyu dewasa.


Di bawah adalah di antara saiz ikan puyu yang terbesar yang berjaya di bawa keluar...





Ikan keli juga menghampiri saiz 6 incin panjang, dan dijangka boleh dituai menjelang Ramadhan yang akan datang.